
Petronas sedang meninjau rizab hidrokarbon di perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, dengan ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sedang melihat kemungkinan memperkenalkan cukai jualan produk petroleum jika tinjauan itu membuahkan hasil.
Jaringan Ekologi dan Iklim (Jedi) dalam kenyataan berkata, pihaknya “bingung” dengan kenyataan Chow, yang dikatakan kelihatan tidak selaras dengan sejarah Pulau Pinang yang menerajui pelbagai inisiatif hijau, selain memenangi pelbagai anugerah pengiktirafan alam sekitar.
Banyak kerajaan sudah mula berpaling daripada minyak, gas dan arang batu, katanya, justeru “mengecewakan” apabila Pulau Pinang berpotensi mengambil langkah mundur menerima minyak dan gas dalam ekonominya.
“Kami ingin ingatkan Chow tentang wawasan Agenda Hijau Pulau Pinang, iaitu (untuk) menjadi negeri terhijau di Malaysia dan dipacu oleh ekonomi hijau menjelang 2030.
“Bagaimana Pulau Pinang hendak capai wawasan ekonomi hijau dan negeri rendah karbon, bertujuan melawan perubahan iklim, jika pada sama mempertimbangkan memperoleh hasil daripada sumber minyak dan gas?
“Kami gesa Chow pertimbang semula keputusan ini dan perjuangkan warisan hijau. Jadikan Pulau Pinang sebagai contoh, negeri pertama di Malaysia menolak minyak dan gas jika ditemukan, sebaliknya menerajui (usaha) negara mengutamakan tenaga boleh baharu,” katanya.
Menyatakan bahawa banyak negara dan bandar di seluruh dunia sedang bergerak secara progresif ke arah alternatif lebih bersih, NGO itu berkata, Pulau Pinang tidak seharusnya membiarkan keuntungan jangka pendek membayangi tanggungjawab iklim jangka panjangnya.