
Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi berkata, ini antara tiga cadangan kerajaan negeri dalam usaha kerajaan Malaysia dan Singapura menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Kita juga sedia maklum bahawa Singapura telah mengumumkan pelaksanaan sistem kod QR bagi pergerakan keluar masuk di CIQ bermula 1 Jan 2024,” katanya.
“Johor juga berharap kerajaan persekutuan dapat mempertimbangkan kaedah digital sama bagi melancarkan pergerakan di sempadan yang tersibuk di dunia ini.”
Onn Hafiz berkata demikian ketika sesi penggulungan pada mesyuarat keempat (Belanjawan 2024) Persidangan Kedua DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini.
Beliau turut berharap bagi memastikan kelancaran pergerakan pekerja dan barang dagangan, inisiatif seperti visa pelbagai kemasukan, pas khas serta kakitangan Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam yang mencukupi, amat diperlukan.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan persekutuan melengkapkan prasarana utama, antaranya laluan khas daripada Link Kedua ke Forest City, pembinaan transit aliran ringan (LRT), kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dan servis feri.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri mengharapkan agar kerajaan persekutuan melihat kepada insentif fiskal merangkumi insentif percukaian seperti cukai korporat dan individu, duti eksais serta elaun cukai pelaburan.
Menteri besar seterusnya menambah Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City, sebahagian daripada JS-SEZ, yang juga akan menarik pemain industri kewangan antarabangsa, khususnya dari Singapura untuk mengembangkan cawangan atau perkhidmatan sokongan mereka.
Malaysia dan Singapura dijangka menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung JS-SEZ di Johor Bahru pada 11 Jan.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan terus memberikan tumpuan dan komitmen kepada pembangunan ekonomi di kawasan seperti Ibrahim International Business District (IIBD) dan pembangunan Ibrahim Technopolis (IBTEC).
Turut diberi perhatian, kawasan Perindustrian bersepadu Muar Furniture Park (MFP); hab pembangunan sektor minyak, gas dan petrokimia di Pengerang dan Muar; pembangunan kawasan Johor Tenggara bersama Kejora dan Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur, yang dijangka akan memberikan faedah dan limpahan ekonomi ke seluruh negeri Johor.
“Insya-Allah, dengan semua ini, lebih banyak pelaburan yang berkualiti akan kita terima, sekali gus mewujudkan rantaian ekonomi yang panjang seperti peluang pekerjaan, dengan gaji yang tinggi, yang akhirnya akan memberi manfaat bukan sahaja kepada Bangsa Johor tetapi juga kepada rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.