
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan memaklumkan N Maridass didapati telah melepaskan enap cemar berminyak seperti yang tersenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ke dalam sungai itu.
Selain itu, syarikat P Tech Resources Sdn Bhd, yang berdepan lapan tuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, juga didenda RM40,000 bagi setiap tuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan denda RM320,000.
Menurut JAS, kes Maridass serta syarikat P Tech Resources telah dibicarakan bersama dan seramai 38 saksi dipanggil memberi keterangan.
Kenyataan itu menyebut, Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman pada 30 Nov selepas mereka mengaku bersalah.
Kejadian pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim pada 7 Mac itu, dipercayai susulan pembuangan sisa toksik, menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang terpaksa ditutup. Seramai 947 mangsa menerima rawatan, dengan sembilan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail.
Sementara itu, kenyataan tersebut memaklumkan JAS komited dalam menangani isu pencemaran alam sekitar dan semua pihak diingatkan serta diberi amaran tegas supaya tidak melakukan sebarang pelupusan haram sisa toksik dan berbahaya atau pencemaran alam sekitar.