
Pengerusi Bersama Task Force Sungai Johor, Jafni Md Shukor, berkata ia bagi memastikan sama ada hukuman denda terhadap pesalah memadai, jika dilihat dari segi apa yang kerajaan telah belanjakan menangani kesan pencemaran di sungai itu dan kesan kepada masyarakat sekitar.
“Dalam kita menjaga alam sekitar khasnya sungai untuk generasi akan datang, sepatutnya penguatkuasaan yang keras dilaksanakan kerajaan,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru Khamis lepas menjatuhkan hukuman denda maksimum terhadap seorang pemandu lori yang terlibat dalam kes pencemaran Sungai Kim Kim pada 7 Mac 2019 sehingga menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup buat sementara waktu.
Semalam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan bahawa Mahkamah Sesyen Johor Bahru telah menjatuhkan denda maksimum RM100,00 ke atas pemandu lori N. Maridass, yang menyebabkan pencemaran itu.
Selain itu, syarikat P Tech Resources Sdn Bhd yang berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, turut didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan denda RM320,000.