
Mengambil kira unjuran ahli KWSP berdepan simpanan rendah menjelang persaraan, ahli ekonomi, Liew Chee Yoong berkata kadar simpanan mungkin jatuh sekiranya akaun ketiga diperkenal.
Liew, yang berkhidmat di Pusat Pendidikan Pasaran dan Universiti UCSI, berkata “kadar simpanan mungkin menyaksikan penyusutan 2 hingga 5%, jika wang akaun fleksibel dikeluar lalu diguna bagi tujuan tidak produktif oleh pencarum”.
Niaz Asadullah dari Monash University Malaysia, berkata andai fleksibiliti digunapakai berdasarkan caruman sedia ada, bebas daripada caruman baharu, “fleksibiliti berkenaan membawa lebih kesan buruk berbanding kebaikan”.
Bagaimanapun, akaun ketiga tidak menjejaskan simpanan pencarum dan mungkin meningkatkannya, jika dilaksanakan menerusi tambahan caruman.
Beliau berkata, pengenalan bagi fleksibiliti berpotensi membantu menarik pencarum baharu KWSP selain meluaskan asas pelanggannya,
Katanya, individu bekerja sendiri atau pekerja tidak tetap dengan pendapatan tidak stabil namun berpendapatan tinggi boleh mendapat manfaat daripada akaun fleksibel itu.
“Namun, ramai berpendapatan rendah terdedah kepada godaan untuk berbelanja berlebihan. Bagi kumpulan ini, komitmen simpanan berbanding produk fleksibel lebih bersesuaian.”
Kerajaan bercadang memperkenal akaun ketiga KWSP diumumkan minggu lalu oleh Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan. Beliau berkata, perincian akan diumumkan kemudian.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata 6.3 juta pencarum KWSP mempunyai simpanan kurang RM10,000 dalam simpanan, yang mana diunjurkan dana persaraan mereka hanya boleh digunakan kurang RM42 selama 20 tahun.
Liew berkata, angka tersebut sangat membimbangkan. Beliau mencadangkan dilaksanakan jaringan sosial lain yang mengurangkan kebergantungan simpanan KWSP semata-mata bagi persaraan.
Niaz berkata, sekiranya simpanan median pencarum boleh digandakan, kerajaan boleh meraih semula RM145 bilion yang “hilang” daripada simpanan persaraan ketika pandemik Covid-19.
“Bagaimanapun, ia memerlukan pendekatan tambahan melampaui akaun ketiga fleksibel,” katanya.
Liew mencadangkan KWSP meluaskan jangkauan pelaburannya, termasuk yang berisiko tinggi dengan pulangan tinggi bagi mereka yang mempunyai kemampuan.
Katanya, strategi itu berpotensi meningkatkan pulangan pelaburan bagi kumpulan itu, sekali gus mengukuhkan kapasiti simpanan.