
Bulan lalu, Chow berkata bahawa Adun pembangkang tidak akan diberi peruntukan sama seperti wakil rakyat kerajaan.
Penyokong kerajaan diberi RM500,000 setahun manakala pembangkang menerima RM60,000.
Chow mengulangi pendiriannya semasa mesyuarat DUN minggu ini apabila ditanya oleh Adun Penaga Yusni Mat Piah, sama ada beliau berani ‘keluar’ daripada peruntukan tidak sama rata yang diwarisi daripada pendahulunya.
Lau, yang merupakan ketua PN Pulau Pinang, berkata beliau menjangkakan Chow tidak memberikan peruntukan sama kerana kerajaan persekutuan juga tidak berbuat demikian.
“Kita meminta keadilan berhubung peruntukan untuk semua Ahli Parlimen dan Adun. Tetapi saya rasa mereka tidak mahu beri peruntukan (sama rata), yang mana ia memang dijangka,” katanya kepada FMT.
Lau menegaskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri meminta peruntukan sama rata semasa memimpin pembangkang.
“Tanya Anwar Ibrahim. Semasa dia menjadi ketua pembangkang, dia meminta peruntukan (sama rata). Adakah PN memberikannya kepada mereka? Ya, mereka lakukan,” katanya, merujuk kepada perjanjian yang ditandatangani antara PH dan pentadbiran Ismail Sabri Yaakob pada Sep 2021.
Ketika itu, Ismail yang juga naib presiden Umno dan Pakatan Harapan meterai suatu persefahaman bagi memupuk kestabilan politik.
“Mengapa mereka (PH) tidak boleh melakukan perkara yang sama?” kata Lau, ketika ditemui di majlis pelancaran pusat khidmat Gerakan di Teluk Kumbar.
“Saya rasa tidak mengapa (jika tiada peruntukan sama rata diberikan). Biar rakyat menilai sama ada mereka OK atau tidak.”
Lau bertanding di bawah tiket PN di DUN Bayan Lepas pada PRN Ogos tetapi tewas kepada calon PH dengan 1,889 undi.