Kesatuan guru sokong keputusan tak kembalikan UPSR

Kesatuan guru sokong keputusan tak kembalikan UPSR

Presiden NUTP Aminuddin Awang menjelaskan UPSR sudah 'tersasar' daripada matlamat sebenar apabila ia digunakan untuk membandingkan murid dan sekolah.

NUTP menyokong keputusan kerajaan tidak mengembalikan UPSR, pada persidangan tritahunan kesatuan itu di Shah Alam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyokong keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tidak mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Presiden Aminuddin Awang dalam kenyataan berkata keputusan itu dicapai pada persidangan perwakilan tritahunan kali ke-23 kesatuan itu di Shah Alam.

Ketika dihubungi FMT, beliau menjelaskan sokongan itu kerana UPSR sudah ‘tersasar’ daripada matlamat sebenar apabila ia digunakan untuk membandingkan murid dan sekolah.

“Matlamat UPSR yang mula diperkenalkan pada 1988 bagi menilai tahap kemampuan murid dalam membaca, menulis, dan mengira (3M) sudah tersasar apabila ia dijadikan faktor perbandingan murid dan sekolah,” katanya, dan menambah ini menyebabkan guru dan murid tertekan.

“Guru diberikan tekanan untuk memastikan ramai murid mendapat 5A dan murid-murid diberi ‘tekanan’ agar memastikan dapat A dalam mata pelajaran.”

Aminuddin berkata para guru mahu keluar dalam sistem persekolahan yang berorientasikan peperiksaan, kerana ia tidak relevan dengan cabaran masa kini.

“Negara memerlukan generasi yang seimbang dalam pelbagai aspek iaitu rohani, emosi, jasmani, intelek dan sosial. Jadi Penilaian Bilik Darjah (PBD) yang dilaksanakan sekarang perlu diteruskan.

“Jika ada kekurangan dalam aspek pelaksanaannya, maka penambahbaikanya perlu dilakukan dan bukannya adakan semula UPSR,” katanya.

Aminudin maklum banyak pihak mahu UPSR dilaksanakan semula atas alasan “murid sudah hilang hala tuju”, sedangkan peperiksaan seperti itu tidak diamalkan di negara-negara maju.

“Sebenarnya, kita patut memberikan ubat yang sesuai untuk setiap permasalahan yang ditimbulkan, bukan menjadikan UPSR sebagai ubat penyelesai segala masalah,” katanya.

Sementara itu, NUTP turut membuat beberapa tuntutan lain kepada kerajaan antaranya menyelesaikan isu kekurangan guru di seluruh negara, sama ada melalui pengambilan tetap atau kontrak.

Ia juga menggesa kerajaan mempercepatkan pelaksanaan warden asrama secara sepenuh masa bagi mengurangkan beban guru di samping mengekang gejala buli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.