Biarlah dia, Iskandar enggan layan seruan Peja kosongkan kerusi Kuala Kangsar

Biarlah dia, Iskandar enggan layan seruan Peja kosongkan kerusi Kuala Kangsar

Iskandar Dzulkarnain yang juga bekas setpol Peja berkata gesaan dibuat 'sesuai' kedudukannya sebagai 'timbalan presiden Bersatu'.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, berkata peruntukan diterima boleh digunakan mendanai program ekonomi, pendidikan, dan infrastruktur. (Gambar Facebook Pusat Khidmat Parlimen Kuala Kangsar)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Kuala Kangsar enggan ‘melayan’ desakan Ahmad Faizal Azumu supaya mengosongkan kerusi, malah mahu terus berkhidmat sejajar fungsinya sebagai wakil rakyat.

Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid berkata, gesaan meletak jawatan selepas menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim dianggap kenyataan “timbalan presiden Bersatu” sahaja.

Katanya, perkara mendesak dirinya meletak jawatan tidak wajar berbangkit, sedangkan peranan seorang ahli Parlimen dipilih supaya melaksanakan tanggungjawabnya membantu rakyat.

“Biarlah dia buat kenyataan itu sebagai timbalan presiden Bersatu, baik saya bantu rakyat yang memerlukan pertolongan saya sebagai Ahli Parlimen,” katanya menurut Sinar Harian.

Selain Iskandar, empat wakil rakyat Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar adalah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).

Pada 25 Nov, Faizal mengakui kesilapannya memilih calon sehingga mereka mengkhianati parti termasuk Iskandar, yang juga bekas setiausaha politiknya.

Faizal atau dikenali Peja, berkata sebagai ketua Bersatu Perak, beliau ada “suara” menentukan calon Bersatu mewakili Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

Sementara itu, Iskandar berkata beliau sudah menerima peruntukan daripada kerajaan perpaduan, namun enggan mendedahkan jumlah dana diperoleh.

Katanya, dengan peruntukan diterima itu beliau dapat melaksanakan perancangan yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan seperti program ekonomi rakyat, meningkatkan kemudahan infrastruktur dan bantuan kebajikan serta pendidikan.

“Saya harap penduduk Kuala Kangsar bekerjasama dengan saya.

“Peruntukan yang diberikan PMX kepada saya, ingin saya menyerahkan kembali untuk kegembiraan rakyat di sini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.