Pelajar IPTA rugi RM38,000 ditipu Macau Scam

Pelajar IPTA rugi RM38,000 ditipu Macau Scam

Polis berkata lelaki 20 tahun itu menerima panggilan telefon mendakwa dia terlibat dalam siasatan kes jenayah.

Polis berkata mangsa memasukkan RM38,000 ke dua akaun bank berbeza, selepas menerima arahan suspek menyamar sebagai pegawai polis atas alasan untuk semakan akaun bank milik mangsa.
KANGAR:
Seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Arau mengalami kerugian RM38,000 dipercayai ditipu Macau Scam apabila terpedaya dengan dakwaan terlibat dalam siasatan kes pengubahan wang haram dan sindiket dadah melalui panggilan telefon semalam.

Ketua Polis Kangar, Yusharifuddin Mohd Yusop berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Kangar menerima laporan polis daripada lelaki 20 tahun itu semalam.

“Mangsa diperdaya apabila menerima panggilan telefon mendakwa terlibat dalam siasatan kes jenayah. Mangsa juga dinyatakan akan ditangkap oleh polis sekiranya gagal beri kerjasama bagi tujuan siasatan kes,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mangsa kemudian memasukkan RM38,000 ke dua akaun bank berbeza, selepas menerima arahan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis atas alasan untuk semakan akaun bank milik mangsa.

Katanya selepas memindahkan wang ke akaun itu, baru mangsa menyedari dia ditipu dan siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai boleh membuat rujukan dan semakan berkaitan jenayah komersial menggunakan perkhidmatan disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman melalui National Scam Response Center (NSRC) di talian 997.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.