Muhyiddin rasa mengemis pada Umno punca tak runding, dakwa Puad

Muhyiddin rasa mengemis pada Umno punca tak runding, dakwa Puad

Puad Zarkashi berkata Muhyiddin Yassin selaku pengerusi PN lebih rela menanggung risiko Ahli Parlimen Bersatu mengalih sokongan kepada Anwar Ibrahim.

Puad Zarkashi mendakwa Muhyiddin Yassin ‘rasa amat aib dengan Umno’.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno mendakwa Perikatan Nasional (PN) enggan berunding dengan kerajaan mengenai peruntukan wakil pembangkang kerana Muhyiddin Yassin merasa “aib” dengan Umno.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Puad Zarkashi, mendakwa berunding dengan kerajaan Anwar Ibrahim ibarat mengemis kepada Umno, yang merupakan “co pilot” kepada kerajaan perpaduan.

“Muhyiddin rasa amat aib dengan Umno. Berunding dengan Anwar umpama mengemis pada Umno kerana Umno adalah ‘co pilot’ kerajaan perpaduan,” dakwa Adun Rengit itu.

“Dia tahu Umno bukan penumpang,” katanya di Facebook.

Muhyiddin dipecat daripada Umno pada 2016 selepas percubaan memberontak terhadap perdana menteri ketika itu, Najib Razak berhubung skandal 1MDB.

Pada 3 Nov lalu, Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan mengesahkan gabungan itu tidak meneruskan rundingan dengan wakil kerajaan mengenai peruntukan sama rata Ahli Parlimen pembangkang kerana mendakwa diminta menyatakan jaminan tertentu.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan apakah butiran jaminan berkenaan.

Puad berkata, Muhyiddin selaku ketua gabungan itu lebih rela menanggung risiko Ahli Parlimen Bersatu mengalih sokongan kepada Anwar.

“Lagipun PN masih bernafsu untuk ambil alih Putrajaya melalui pintu belakang. Muhyiddin juga yakin dia boleh kembali jadi perdana menteri. Maka apa perlunya berunding?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.