Lelaki 83 tahun penderma organ tertua di Sabah

Lelaki 83 tahun penderma organ tertua di Sabah

Selvaraju Shanmugam @ SSR Raju yang meninggal dunia baru-baru ini memberikan matanya untuk membantu dua pesakit.

Jabatan Kesihatan Sabah menggesa orang ramai mendaftar sebagai pengikrar penderma organ melalui aplikasi MySejahtera dan maklumkan hasrat itu kepada ahli keluarga. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Lelaki berusia 83 tahun, Selvaraju Shanmugam @ SSR Raju, yang meninggal dunia baru-baru ini adalah perderma organ tertua di Sabah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Asits Sanna, berkata warga emas itu yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung memberikan matanya untuk membantu dua pesakit memerlukan pendermaan mata atau kornea.

Kataya, proses pendermaan organ itu dilakukan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

“Walaupun tidak berkesempatan mendaftar sebagai pengikrar penderma organ, mendiang pernah memaklumkan hasrat menderma organ kepada ahli keluarganya.

“Pihak keluarga mendermakan sepasang kornea (mata) yang telah membantu dua orang pesakit lain mendapat sinar baharu dalam kehidupan mereka,” katanya dalam kenyataan.

JKNS turut merakamkan ucapan takziah dan penghargaan kepada pihak keluarga mendiang atas anugerah kehidupan yang diberikan.

“Semoga roh mendiang diberkati dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini,” katanya.

JKNS merekodkan penderma organ tertua sebelum ini berumur 80 tahun pada 2018, manakala penderma termuda berumur setahun empat bulan pada 2008.

Jumlah penderma organ kadaverik (selepas meninggal dunia) di Sabah setakat Oktober lalu adalah 33 orang.

“JKNS menggesa orang ramai mendaftar sebagai pengikrar penderma organ melalui aplikasi MySejahtera dan maklumkan hasrat murni itu kepada ahli keluarga terdekat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.