Cukup-cukuplah Dr M, kata Ahli Parlimen PH berkait idea tumbang kerajaan

Cukup-cukuplah Dr M, kata Ahli Parlimen PH berkait idea tumbang kerajaan

Syed Ibrahim Syed Noh berkata Ahli Parlimen kerajaan tidak tertekan untuk mengalih sokongan seperti dikatakan Dr Mahathir Mohamad.

Syed Ibrahim Syed Noh dari PKR dan Sany Hamzan dari Amanah senada menolak cadangan ubah kerajaan oleh Dr Mahathir Mohamad.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) membidas Dr Mahathir Mohamad kerana membangkitkan cadangan menumbangkan kerajaan perpaduan, sambil meminta negarawan itu membantu negara dengan ‘cara lebih mulia’.

Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh berkata kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim berusia setahun itu perlu diberi peluang untuk melaksanakan pelbagai perubahan selain memulihkan ekonomi yang terjejas pasca Covid-19.

Menurut wakil rakyat PKR itu, sebagai bekas perdana menteri berstatus negarawan, Mahathir sepatutnya berkelakuan lebih baik dan menggunakan pengalaman lebih dua dekad untuk bersama kerajaan menyelesaikan bakul ekonomi rakyat.

“Bagi saya mudah sahaja kita dah ada dua pertiga majoriti, politik pun stabil…apa perlunya perubahan (kerajaan dicadangkan Mahathir) untuk betulkan kerajaan ini?

“Apakah tekanan yang membuatkan Ahli Parlimen kerajaan mengalihkan sokongan? Saya rasa sekarang ini sebaliknya berlaku apabila ramai di kem pembangkang sedang berfikir untuk bersama pemerintah,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Mahathir berkata Perikatan Nasional (PN) mampu mengambil alih Putrajaya sekiranya ada Ahli Parlimen blok kerajaan mengalihkan sokongan kepada gabungan itu tanpa keluar parti, seperti dilakukan lima wakil rakyat Bersatu.

Beliau turut memberi gambaran sokongan itu boleh datang daripada Ahli Parlimen PKR dan Amanah, selain Umno.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan meminta Mahathir supaya berhenti daripada membakar sentimen mengubah kerajaan tanpa pintu demokrasi kerana rakyat telah muak.

“Janganlah kalau bara ada, beliau tambah kayu dan petrol…cukup-cukuplah itu.

“Biarlah kerajaan ini selesaikan masalah rakyat macam ekonomi dan kesihatan,” kata wakil rakyat Amanah itu.

Beliau turut menyifatkan kelonggaran dalam akta anti lompat parti ibarat senjata makan tuan buat PN yang sebelum ini tidak bersetuju tindakan ke atas wakil rakyat mengalih sokongan tetapi tidak melompat.

“Saya rasa perlu ada pindaan…dahulu ketika dalam pembangkang kita dah hidu kelemahan ini tetapi mereka tidak mahu terima,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.