121 rakyat Malaysia terkandas di Myanmar pulang ke tanah air

121 rakyat Malaysia terkandas di Myanmar pulang ke tanah air

Wisma Putra berkata 121 rakyat Malaysia itu selamat tiba di KLIA pada 3.24 pagi tadi.

Wisma Putra berkata kumpulan itu bersama seorang warga Indonesia tiba di KLIA dengan penerbangan khas AirAsia dari Kunming, China.
KUALA LUMPUR:
Seramai 121 rakyat Malaysia yang terkandas di Laukkaing, Myanmar akibat konflik di wilayah itu selamat pulang ke tanah air.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3.24 pagi tadi.

Semua 121 rakyat Malaysia itu disyaki menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di negara itu.

Kumpulan itu tiba dengan penerbangan khas AirAsia dari Kunming, China, dan disambut Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin.

Katanya, Kedutaan Malaysia di Yangon dan Pejabat Konsulat Malaysia di Kunming menyelaras misi membawa keluar kumpulan itu menerusi sempadan Myanmar-China pada pagi semalam dengan kerjasama dan kelulusan daripada negara-negara terlibat.

Operasi membawa keluar rakyat Malaysia itu susulan pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan Timbalan Perdana Menteri China Liu Guozhong, dan pegawai negara itu Ding Xuexiang ketika lawatan rasmi ke Beijing pada 16 Nov lalu.

Turut bersama dalam kumpulan rakyat Malaysia itu adalah seorang warga Indonesia.

Pertempuran tercetus di utara Myanmar susulan serangan mengejut kumpulan pemberontak pada bulan lalu. Kumpulan itu menguasai beberapa lintasan sempadan ke China.

Konflik di sempadan Myanmar itu sering menjadi cabaran kepada China, yang menyokong pemerintahan tentera yang merampas kuasa pada 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.