Tumbuk ibu tak beri RM10, lelaki dipenjara setahun

Tumbuk ibu tak beri RM10, lelaki dipenjara setahun

Tertuduh Chai Chon Tak mengaku bersalah menyebabkan kecederaan ke atas ibunya berusia 50 tahun.

Chai Chon Tak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas ibunya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan kerana menumbuk ibunya yang enggan memberikan RM10, pada Isnin lalu.

Majistret T Ashvinii mengenakan hukuman itu selepas tertuduh, Chai Chon Tak, 29, mengaku bersalah atas pertuduhan dikenakan.

Buruh sawit yang masih bujang itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas ibu kandungnya, Hew Yoke Cheng, 50, di sebuah rumah dalam bangunan pejabat DAP dekat Langkap dalam daerah Hilir Perak, lebih kurang 3 petang, pada 27 Nov 2023.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menumbuk lengan kiri mangsa hingga mengakibatkan kecederaan pada tisu lembut.

Menurut Sinar Harian, sebelum kejadian, tertuduh menemui ibunya untuk meminta RM10, namun mangsa tidak mahu memberikan wang tersebut kerana mendakwa anaknya itu menghisap dadah.

Bagi kesalahan itu, Chai didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 326 A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Izzuddin Fakri Hamdan memohon satu hukuman setimpal dikenakan memandangkan perbuatan itu dilakukan terhadap ibu kandung, selain sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), F Faustina meminta mahkamah mengenakan hukuman minimum mengambil kira pengakuan bersalah itu menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman setahun penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 27 Nov lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.