RM30 juta diperuntukkan bagi insentif gaji progresif

RM30 juta diperuntukkan bagi insentif gaji progresif

Mekanisme pembayaran akan ditentukan sama ada dilakukan secara tuntutan suku tahunan atau separuh tahun, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Insentif tunai berkait dasar gaji progresif disediakan mengikut kadar dan kumpulan pekerja pada peringkat permulaan serta bukan permulaan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan memperuntuk RM30 juta bagi pemberian insentif tunai pelaksanaan projek rintis dasar gaji progresif, yang bermula Jun tahun depan melibatkan penyertaan 1,000 syarikat swasta termasuk perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS).

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata insentif berbentuk tunai itu disediakan mengikut kadar dan kumpulan pekerja pada peringkat permulaan serta bukan permulaan.

“Bagi kumpulan peringkat permulaan, syarikat layak menerima kadar insentif pada nilai tetap sehingga maksimum RM200 sebulan selama 12 bulan sekiranya syarikat membayar gaji pada kadar yang sama atau melebihi cadangan panduan kenaikan gaji tahunan.

“Bagi kumpulan pekerja bukan peringkat permulaan, syarikat layak menerima kadar insentif pada nilai tetap sehingga maksimum RM300 sebulan selama 12 bulan sekiranya syarikat memberi kadar kenaikan gaji tahunan berdasarkan panduan kenaikan gaji tahunan,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen.

Beliau berkata mekanisme pembayaran akan ditentukan sama ada dilakukan secara tuntutan suku tahunan atau separuh tahun.

Sementara itu, ketika membentangkan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif di Dewan Rakyat, Rafizi berkata ia bagi menerangkan tentang isu gaji dan pengenalan dasar gaji progresif, sebagai sebahagian usaha kerajaan untuk mengatasi masalah struktur pasaran buruh melalui reformasi gaji.

Beliau berkata berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama Tahun 2023, sebanyak 73.3% daripada 6.54 juta pekerja formal menerima gaji kurang RM5,000 sebulan, manakala hampir 56% pekerja menerima gaji di bawah gaji kehidupan wajar (RM3,047 sebulan).

Sebanyak 47% pula menerima gaji di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (RM2,589 sebulan berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan 2022), manakala lebih 10% pekerja formal menerima gaji di bawah kadar gaji minimum (RM1,500 sebulan).

Rafizi berkata dasar gaji progresif mempunyai tiga ciri asas iaitu pelaksanaan secara sukarela, berteraskan insentif, dan terkait dengan produktiviti.

Pelaksanaan dasar gaji progresif bersifat sukarela tanpa undang-undang baharu untuk memastikan ketersediaan serta kemampuan majikan untuk menerima pakai model gaji progresif, sekali gus memberi ruang kepada syarikat untuk bersiap sedia dan melakukan penyesuaian tanpa tekanan kos yang terlalu besar.

“Penyertaan secara sukarela pula akan disokong oleh kerajaan melalui bantuan insentif tunai bagi membantu majikan membiayai sebahagian kos untuk menyertai dasar gaji progresif.

“Insentif ini diberikan kepada syarikat yang memenuhi syarat dan kriteria untuk tempoh satu tahun bagi membolehkan syarikat menyesuaikan pelan perniagaan,” katanya sambil menambah pemberian insentif itu akan dikaji setiap tahun berdasarkan kedudukan fiskal kerajaan.

Beliau berkata kenaikan gaji yang terkait dengan produktiviti pula menekankan kesaksamaan di antara majikan dan pekerja melalui konsep timbal balik peningkatan produktiviti serta kenaikan gaji.

“Konsep ini bertujuan untuk menangani kebimbangan utama pihak majikan iaitu kenaikan gaji perlu seiring dengan peningkatan tahap kemahiran dan produktiviti pekerja,” katanya.

Rafizi juga berkata struktur tadbir urus yang mantap dan berkesan merentasi kementerian serta agensi akan diwujud melalui penubuhan beberapa jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Khas Kabinet, Jawatankuasa Eksekutif dan Jawatankuasa Kerja Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif bagi pelaksanaan dasar berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.