Rapid KL nafi berlaku letupan tren MRT

Rapid KL nafi berlaku letupan tren MRT

Kejadian itu hanyalah bunyi percikan api sebelum tren itu dikeluar daripada perkhidmatan stesen Taman Mutiara.

Rapid KL berkata, tren terlibat dibawa ke depoh bagi pemeriksaan terperinci susulan bunyi percikan api.
KUALA LUMPUR:
Rapid KL menafikan berlakunya letupan atau kebakaran melibatkan sebuah tren Transit Aliran Massa (MRT), laluan Kajang semalam seperti tular di media sosial.

Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, sebaliknya kejadian itu hanyalah bunyi percikan api berpunca daripada sebuah tren bernombor 28 yang sebelum itu dikeluarkan daripada perkhidmatan di stesen Taman Mutiara kerana menyebabkan ‘alarm’ atau amaran kepada sistem bekalan kuasa trek MRT di stesen berhampiran.

“Insiden menyebabkan atau menghasilkan ‘bunyi spark’ (bunyi percikan api) seperti yang dilaporkan. Bagaimanapun tiada sebarang letupan atau kebakaran.

“Atas faktor keselamatan, tren tersebut telah dikeluarkan daripada perkhidmatan dan penumpang telah diminta untuk menaiki tren berikutnya yang tiba di Taman Mutiara. Tren terbabit kemudian dibawa ke depoh selepas tamat waktu operasi bagi pemeriksaan terperinci,” menurut kenyataan itu.

Pada waktu kejadian, pegawai transit yang berada di dalam tren sentiasa memantau keadaan bagi memastikan tiada sebarang gangguan terhadap jadual perjalanan perkhidmatan tren MRT Laluan Kajang.

Terdahulu, tular di media sosial perkongsian pengguna MRT terbabit yang mendakwa berlaku letupan di tren terbabit sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.