Masalah air di Langkawi capai penyelesaian

Masalah air di Langkawi capai penyelesaian

Satu perjumpaan diadakan antara SPAN dan wakil penduduk kelmarin mencapai kata sepakat berhubung penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang.

Pengerusi SPAN Charles Santiago bertemu penduduk terjejas akibat masalah air di Langkawi.
PETALING JAYA:
Keperitan penduduk empat penempatan di Langkawi yang berdepan masalah air sejak dua tahun lalu berakhir apabila kerajaan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mencapai beberapa penyelesaian.

Dalam kenyataan, SPAN berkata perjumpaan antara agensi itu diketuai Pengerusi Charles Santiago dan wakil penduduk Taman Sungai Raya, Kampung Belanga Pecah, Kampung Teluk dan Kampung Kisap kelmarin mencapai kata sepakat berhubung penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Bagi jangka pendek, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) akan menambah jumlah lori tangki daripada empat kepada tujuh; dan menambah tangki statik di lokasi terkesan sebagai penyelesaian jangka pendek serta menyediakan kakitangan yang boleh dihubungi secara 24 jam bagi penghantaran bekalan air,” katanya.

Bagi jangka sederhana, SPAN berkata tiga rumah pam bersama tangki sedutan akan dibina di Taman Delima, Taman Sungai Raya dan Kampung Kisap.

“Selain itu, projek pembaikan paip dasar laut dilaksanakan Sada dengan peruntukan daripada kementerian. Projek ini berada dalam peringkat kajian perundingan dan dijangka siap pada awal 2025,” menurut agensi itu.

SPAN berkata, bagi jangka panjang kerajaan akan membina Loji Rawatan Air Padang Saga 4 dan 5 bagi penambahan kapasiti bekalan air sebanyak 50 juta liter sehari (JLH).

“Projek ini dijangka siap pada 2028.”

Media sebelum ini melaporkan, kira-kira 500 keluarga di kawasan terjejas menghadapi masalah bekalan air bersih sejak dua tahun lalu menyebabkan penduduk terpaksa bergantung kepada sumber air sungai berhampiran untuk kegunaan harian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.