Lelaki ditahan di pusat pemeriksaan Sabah tiada kaitan kes culik, kata polis

Lelaki ditahan di pusat pemeriksaan Sabah tiada kaitan kes culik, kata polis

Polis berkata, warga tempatan itu cuba melarikan diri daripada sekatan jalan di pusat pemeriksaan darat Sapi Nangoh.

Polis berkata, suspek ditahan di tempat kejadian, selepas dia berpatah balik untuk menyerah diri pada hari kejadian.
BELURAN:
Polis menafikan rakaman video tular melibatkan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan di pusat pemeriksaan darat (RCP) Sapi Nangoh di sini berkaitan kes penculikan.

Ketua Polis Beluran, Kasim Muda berkata video 18 saat itu memaparkan sebuah kenderaan cuba mengelak pemeriksaan polis.

“Ketika kejadian, kereta berkenaan melarikan diri menuju ke arah Kota Kinabalu semasa pemeriksaan sedang dijalankan di RCP Sapi Nangoh sebelum ditahan polis.

“Suspek yang menaiki kereta tersebut, iaitu seorang lelaki tempatan, cuba melarikan diri daripada sekatan jalan ketika pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, suspek berjaya diberkas pada hari sama di tempat kejadian, selepas dia berpatah balik untuk menyerah diri.

“Tangkapan kira-kira 5 petang itu turut melibatkan rampasan sebuah kereta Perodua Aruz berwarna hitam oleh polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.”

Kasim berkata, lelaki itu turut disyaki mengambil dadah dan ujian saringan air kencing akan dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.