
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di Dewan Rakyat berkata Kementerian Kewangan menganggarkan hasil kutipan cukai vape kira-kira RM500 juta setahun, namun kajian menunjukkan kos rawatan bagi penyakit Evali adalah RM150,000 bagi setiap pesakit.
“Ini dijangka meningkat sehingga RM369 juta setahun pada 2030. Jika tiada kawalan dibuat berkaitan rokok elektronik atau vape melalui RUU ini, maka lebih ramailah yang akan terdedah kepada risiko komplikasi penyakit akibat penggunaan rokok elektronik.”
Dalam pada itu, Zaliha berkata berdasarkan laporan kos langsung penjagaan penyakit tidak berjangkit (NCD) di Malaysia dikeluarkan pada 2022, jumlah kos rawatan bagi NCD utama boleh dikaitkan dengan komplikasi merokok seperti kardiovaskular, kanser dan diabetes pada 2017 dianggarkan berjumlah RM9.65 bilion.
Beliau berkata, unjuran anggaran rawatan untuk merawat tiga penyakit kronik kardiovaskular, kanser dan penyakit paru-paru kronik akibat komplikasi merokok pula adalah RM8.77 bilion menjelang 2030.
Kos rawatan itu, katanya jauh lebih tinggi daripada kutipan cukai rokok dianggarkan sekitar RM2 hingga 3 bilion setahun, manakala kajian pada 2019 melaporkan tabiat merokok dianggarkan menyebabkan kehilangan produktiviti sebanyak RM275.3 bilion.
Terdahulu, pada sesi perbahasan, Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) dan Halimah Ali (PN-Kapar) bertanyakan kos rawatan penyakit berbanding kutipan cukai produk merokok.
Berhubung peruntukan generasi penamat (GEG) yang digugurkan daripada RUU itu, Zaliha berkata perkara itu akan diteliti dari semasa ke semasa selepas penguatkuasaan serta memantau kesan RUU itu terhadap penurunan prevalens merokok.
“Semangat pada hari ini adalah meluluskan terlebih dahulu RUU yang sangat komprehensif ini terhadap produk merokok, bahan-bahan merokok dan produk mengganti rokok dan ia perlu dilaksanakan segera…insya-Allah, jika ada keperluan ketika itu, kita boleh bawa kembali isu GEG.”
RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 itu lulus dengan suara majoriti selepas dibahas 27 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.