
Menurut Kertas Putih Cadangan DGP dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, walaupun PGM dilaksanakan 2016 berjaya meningkatkan gaji pekerja berkemahiran rendah namun pada masa sama wujud situasi pemampatan upah (wage compression) di kalangan graduan.
“Gaji permulaan untuk graduan hampir sama dengan gaji minimum ditetapkan kerajaan.
“Kerajaan perlu berani untuk mengambil tindakan lebih drastik untuk terus meningkatkan gaji dan memastikan pengagihan pendapatan yang lebih seimbang,” menurut laporan itu yang dibentangkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
“Dasar Gaji Progresif adalah dasar reformasi gaji yang dijangka berupaya untuk mencapai matlamat tersebut memandangkan dasar ini adalah bersifat sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti.”
Ketika PGM mula dilaksanakan pada 2016, kerajaan menetapkan kadar gaji minimum bulanan sebanyak RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia manakala RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak serta Labuan.
Kadar itu dikaji setiap tahun dan kini dinaikkan kepada RM1,500 sebulan termasuk untuk syarikat mempunyai kurang lima pekerja.
Sementara itu, dokumen berkenaan turut berkongsi garis masa pelaksanaan GDP yang projek perintisnya dijangka bermula Jun depan.
“Semakan prestasi pelaksanaan projek rintis akan dibuat selepas empat bulan bagi menilai keberkesanan dan menentukan hala tuju pelaksanaan dasar ini.
“Pelan pelaksanaan yang komprehensif akan dirangka sebelum pelaksanaan penuh Dasar Gaji Progresif dilaksanakan,” katanya.
Sistem gaji progresif merupakan peralihan daripada model pemberian upah minimum kepada kenaikan gaji secara berperingkat dan berfasa supaya ia setanding dengan pertumbuhan ekonomi negara.