Kelindan lori mengaku tak salah cuba bunuh polis

Kelindan lori mengaku tak salah cuba bunuh polis

Tertuduh berusia 28 tahun dituduh cuba membunuh koperal itu dengan memandu kereta Perodua Myvi secara berbahaya.

Peguam tertuduh memohon jaminan munasabah mengambil kira kecederaan di bahu kanan anak guamnya yang menerima jahitan akibat terkena tembakan polis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang kelindan lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan kerana cubaan membunuh anggota polis, Oktober lalu.

Tertuduh, Mohamad Hafiz Naharoddin, 28, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Kelindan lori itu dituduh melakukan perbuatan cubaan membunuh Nik Mohd Khairul Izwan Nik Jid berpangkat koperal dengan memandu kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah secara berbahaya di jalan raya sehingga menyebabkan mangsa cedera dengan pengetahuan perbuatan terbabit boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di hadapan Masjid Simpang 4 Labu Kubong, Chenderong Balai pada 5.50 petang, 23 Okt, menurut Berita Harian.

Oleh itu, dia dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Cheah Shuh Yuan, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, M Saravanan.

Saravanan memohon satu jaminan yang munasabah mengambil kira kecederaan di bahu kanan tertuduh yang menerima jahitan akibat terkena tembakan polis.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 ke atas Hafiz dengan syarat tambahan seorang penjamin serta perlu melapor diri balai polis terdekat sebulan sekali.

Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 29 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.