Kaedah tunai perlu untuk penerima luar bandar, kata Rafizi

Kaedah tunai perlu untuk penerima luar bandar, kata Rafizi

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan masih mengkaji kaedah penyaluran bantuan subsidi bersasar.

Masalah capaian komunikasi menyukarkan bantuan subsidi bersasar menerusi e-dompet. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak bercadang melaksanakan penyaluran bantuan subsidi bersasar menerusi e-dompet memandangkan mekanisme bayaran tunai masih diperlukan penerima luar bandar.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata mekanisme penyaluran perlu diteliti dengan lebih lanjut bagi memastikan penyaluran bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan memudahkan penerima bantuan.

“Selaras dengan langkah kerajaan ke arah pendigitalan ekonomi, pelaksanaan ekosistem tanpa tunai seperti e-dompet menggalakkan masyarakat menggunakan teknologi.

“Namun, penyaluran secara tunai perlu dipertimbangkan juga untuk penerima bantuan kerajaan di kawasan luar bandar yang menghadapi masalah capaian rangkaian telekomunikasi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

Rafizi menjawab pertanyaan Azli Yusof (PH-Shah Alam) sama ada kerajaan berhasrat memperkenalkan sistem e-dompet keseluruhannya dalam pelaksanaan bantuan subsidi bersasar.

Katanya, kerajaan masih mengkaji mekanisme pengagihan bantuan dan subsidi yang paling berkesan dan mudah kepada rakyat.

“Cadangan ini merupakan antara kaedah yang sedang dikaji kerajaan termasuk melalui e-baucar, e-dompet atau penyaluran tunai secara terus melalui bank.

“Sebagai contoh, bayaran Sumbangan Tunai Rahmah secara tunai akan disalurkan terus ke akaun bank penerima, manakala skim-skim bantuan terpilih di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat menggunakan e-dompet,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.