
Presiden NUTP Aminuddin Awang turut berkata, tiada keperluan untuk membangkitkan isu berkenaan memandangkan guru berkewajipan menyokong kerajaan yang memerintah.
“Apa yang penting adalah kerajaan terus membuktikan kesungguhannya dalam menyelesaikan pelbagai isu dihadapi profesion perguruan, bagi memastikan guru berasa puas hati dalam melaksanakan tugas mereka di sekolah,” katanya kepada FMT.
“Guru dan sekolah sudah sedia terbeban dengan pelbagai tugasan yang tidak relevan (dengan tugas mereka), jadi usahlah menambah (beban mereka) dengan melaksanakan idea (jawatankuasa) yang karut.”
Ketika kongres PKR Ahad lalu, perwakilan PKR Johor Haryati Abu Nasir berkata terdapat trend membimbangkan dalam kalangan guru yang secara terbuka tidak mahu menyokong kerajaan ketika ini. Beliau seterusnya menggesa kementerian pendidikan mewujudkan jawatankuasa pemerhati bagi memantau perkara itu.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia Azmil Tayeb berkata pendekatan “Big Brother” dicadangkan Haryati itu bukan penggunaan sumber kerajaan yang produktif kerana kementerian pendidikan sewajarnya memfokuskan terhadap kualiti pengajaran.
Beliau turut berpendapat jawatankuasa seperti itu akan memberi gambaran buruk terhadap kerajaan kerana boleh dilihat sebagai taktik autoritarian untuk memantau pengkritik.
“Jawatankuasa itu akan mempunyai kuasa memutuskan apa pandangan yang disifatkan ‘antikerajaan’. Ini mampu membuka peluang untuk penyalahgunaan kuasa serta penganiayaan,” katanya kepada FMT.
Azmil berkata, sekalipun kerajaan mendapati peratusan kecil guru yang berpendirian antikerajaan atau pro-Perikatan Nasional, ini tidak mewajarkan penubuhan jawatankuasa pemantau. Sebaliknya, beliau mencadangkan kerajaan memberi amaran supaya guru tidak mencampuri politik dan pendidikan, serta hanya mematuhi kurikulum.
Beliau turut mencadangkan pelajar digalakkan melaporkan guru yang menyuarakan pandangan politik dalam bilik darjah.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata, kementerian pendidikan sepatutnya memfokuskan terhadap menyokong guru bagi membangunkan potensi mereka menerusi amalan pedagogi yang dapat menghasilkan pelajar lebih baik.
“Guru mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai, jadi mereka memerlukan sokongan sepenuhnya bagi mencapai KPI itu,” katanya.
“Guru adalah golongan profesional dan ahli politik tidak patut campur tangan. Guru yang berdedikasi hanya mahu melihat pelajar mereka berjaya.”