Tak sangka bebas, Yasin mahu ‘comeback’ ke industri hiburan

Tak sangka bebas, Yasin mahu ‘comeback’ ke industri hiburan

Muhammad Yasin Sulaiman perlu dirawat di Hospital Bahagia Ulu Kinta Perak untuk penyakit Bipolar sepanjang tempoh perkenan Sultan Selangor.

Muhammad Yasin Sulaiman dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan berkaitan kes dadah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penyanyi dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman mengakui tidak menyangka dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan dadah pada Mac tahun lalu.

Menurut pelantun lagu Mimpi Laila itu, dirinya meletakkan peluangnya bebas hanya 50-50 dan sentiasa bersedia menerima apa jua hukuman.

“Tak jangka (keputusan hari ini) sebenarnya, rasa peluang 50-50.

“Pada yang mengikuti perbicaraan nampaklah berat kepada kemenangan tetapi sentiasa bersedia untuk keputusan yang ke kiri atau ke kanan,” katanya ditemui selepas penghakimannya kesnya.

Pada prosiding itu, Hakim Faiz Dziyauddin melepas dan membebaskan Yasin Sulaiman di atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.

Namun beliau diperintah ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk rawatan sepanjang tempoh diperkenan Sultan Selangor.

Faiz membuat keputusan itu kerana mental tertuduh berada dalam keadaan tidak waras ketika kejadian pada 24 Mac 2022.

Sementara itu, Yasin juga berazam membuat kemunculan semula dalam industri seni tanah air selepas selesai menjalani rawatan untuk penyakit Bipolar.

“Saya pasti akan kembali dalam industri, sudah banyak lagu saya sediakan…insya-Allah saya akan terbitkan lagu macam biasa,” katanya.

Sementara itu, abangnya Zain berkata keluarganya lega dan menerima keputusan mahkamah merujuk Yasin ke Hospital Bahagia Ulu Kinta.

“Jauh atau dekat itu tidak menjadi masalah yang penting dia menerima rawatan dan kita akan rasa senang hati.

“Kami tidak risau kerana kami tahu beliau dijaga dengan baik serta menerima rawatan pakar di situ,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.