
Ketika merasmikan Persidangan PEDi Madani 2023, Anwar yang juga menteri kewangan turut mengumumkan kenaikan RM500 bagi elaun penolong pengurus PEDi kepada RM2,000, juga bermula Jan 2024.
“PEDi ini merupakan satu strategi yang sangat penting dan kita harus pastikan ia lebih berhasil. Keluarga PEDi akan jadi lebih besar, kita mulakan dengan RM25 juta dan sekiranya perlu tambah, saya akan ikhtiar untuk tambah peruntukan,” katanya.
Belanjawan 2024 memperuntukkan RM25 juta bagi memperkasa peranan PEDi dalam membantu masyarakat setempat.
Anwar berkata transformasi digital merupakan antara tunggak dalam strategi ekonomi Madani dan pihak yang terlibat secara langsung dengan PEDi dengan penuh dedikasi berjaya memanfaatkan kegunaan PEDi bagi komuniti setempat.
Anwar turut meminta agar PEDi memperkenalkan penggunaan teknologi dan aplikasi baharu kepada anak muda.
Sementara itu, Anwar meminta syarikat telekomunikasi memberi tumpuan dalam bidang pengkhususan dan kepakaran baharu selaras dengan keperluan industri masa kini bagi mendukung agenda pembangunan masyarakat dan memastikan kemudahan transformasi digital dinikmati semua peringkat.
Dalam sesi pertemuannya dengan beberapa pihak industri luar negara, Anwar berkata beliau menerima maklum balas bahawa tenaga kerja Malaysia memerlukan kemahiran tambahan biarpun mereka berpuas hati dengan disiplin pekerja.
“Saya tanya berterus terang dengan mereka, apa sebenarnya yang mereka mahu, beritahu saya apa yang diperlukan, apa yang perlu dilakukan lagi. Semua mengatakan tenaga kita, profesional kita, disiplin kerja, etika mereka memuaskan, tapi yang kurangnya ialah kemahiran tambahan, ini cabaran kita.
“(Oleh itu), syarikat-syarikat telekomunikasi yang ada harus melihat ke dalam bidang-bidang ini (bidang baharu) untuk bantu selaraskan aspek ‘kepakaran’ dan ‘pengkhususan’ yang diperlukan. Ini sasaran kita,” kata beliau.