
Naib Presidennya T Mohan menyifatkan desakan disuarakan Ketua Pemuda PKR Selangor Izuan Kasim itu sebagai perkara biasa dalam mana-mana perhimpunan atau persidangan parti.
“Dalam perbahasan mana-mana parti biasalah mereka nak tunjuk hero, sama juga perwakilan PKR itu nak tunjuk hero…MIC tak ambil hati.
“Pimpinan MIC, presiden (SA Vigneswaran) dan timbalan presiden (M Saravanan) ada hubungan baik dengan perdana menteri (Anwar), dalam mesyuarat agung pun telah putuskan terus kerjasama,” katanya kepada FMT.
Pada Kongres PKR minggu lalu, Izuan dalam maklum balas kepada Saravanan menyarankan parti komponen kerajaan perpaduan yang tidak ikhlas bersama pentadbiran Anwar supaya meninggalkan kerjasama itu.
Saravanan sebelum itu dilaporkan berkata MIC tidak akan teragak-agak ‘untuk mengambil tindakan selanjutnya’ sekiranya pengiktirafan tidak diberi.
Mohan berkata teguran dibuat Saravanan itu perlu dilihat dari sudut positif yang bertujuan memastikan kerajaan Anwar berfungsi baik.
“Kenyataan minta MIC diiktiraf dalam kerajaan itu biasa bukannya kita ugut dan desak.
“Tak boleh tak tegur kerana ia untuk kebaikan perjalanan pentadbiran kerajaan,” katanya.