Bangunan dalam binaan runtuh: Operasi mencari dan menyelamat diteruskan

Bangunan dalam binaan runtuh: Operasi mencari dan menyelamat diteruskan

Anggota bomba masih berusaha mencari empat mangsa dikhuatiri masih tertimbus dalam insiden itu.

Menurut bomba, pihaknya menggunakan kren dan khidmat anjing pengesan untuk mencari mangsa manakala operasi diteruskan hingga semua mangsa dikeluarkan. (Gambar JBPM)
GEORGE TOWN:
Operasi mencari dan menyelamat empat mangsa dikhuatiri masih tertimbus dalam insiden runtuhan sebuah gudang logistik yang sedang dalam pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas di sini, diteruskan sejak malam tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memaklumkan tugasan mengalihkan struktur yang runtuh oleh jentera berat sedang dijalankan.

“Kren digunakan untuk mengalihkan struktur beam berat yang menghalang laluan masuk ke runtuhan dan kerja-kerja pengalihan ini memerlukan sedikit masa,” menurutnya dalam kenyataan pagi ini.

Kenyataan itu memberitahu anggota bomba mengalami kesukaran dalam mengalihkan rasuk-rasuk yang terjatuh bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus.

“Kesukaran kita setakat ini ialah mengalihkan struktur yang terjatuh kerana ia melibatkan struktur konkrit yang berat dan besar. Kerja-kerja ini memerlukan jentera mesin untuk mengangkat dan membersihkan kawasan supaya pasukan penyelamat boleh akses kepada lokasi mangsa.

“Kita menggunakan kren dan khidmat anjing pengesan jika dikhuatiri ada mangsa yang tidak dilaporkan. Kita akan teruskan operasi sehingga semua mangsa dikeluarkan,” menurut kenyataan itu.

Setakat 6 pagi tadi, empat mangsa dilaporkan dikhuatiri masih tertimbus dalam runtuhan tapak binaan itu yang berlaku malam tadi, tiga disahkan maut manakala dua yang cedera parah sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.