9 kes cacar monyet dilaporkan sejak Julai

9 kes cacar monyet dilaporkan sejak Julai

Kes pertama dan kedua direkodkan di KL pada Julai, kes ketiga dan keempat di Selangor bulan lepas, kelima di Sarawak pada 5 Nov dan baki empat kes di ibu negara.

Lukanisman Awang Sauni berkata, individu dijangkiti cacar monyet dan kontak rapat perlu melalui tempoh pengasingan di kediaman atau lokasi bersesuaian sehingga disahkan bebas jangkitan itu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sembilan kes jangkitan cacar monyet (mpox) dilaporkan dari Julai hingga bulan ini melibatkan seorang warga asing dan lapan warga tempatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata kes pertama dan kedua direkodkan di Kuala Lumpur pada Julai, kes ketiga dan keempat di Selangor pada bulan lepas, kelima di Sarawak pada 5 Nov, manakala baki empat kes terbaharu juga di ibu negara.

“Kementerian giat melakukan langkah kawalan dan pencegahan jangkitan mpox agar tidak merebak, antaranya pemantauan di pintu masuk antarabangsa negara dengan kerjasama Jabatan Imigresen bagi pengesanan awal terhadap pengembara bergejala.

“Bagi kemasukan pelajar asing ke institusi pendidikan tinggi, terutama dari negara melaporkan kes mpox atau endemik mpox, mereka diminta melakukan pemantauan kendiri selama 21 hari dan perlu dapat rawatan sekiranya bergejala,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) mengenai langkah pencegahan bagi memastikan jangkitan cacar monyet yang dilaporkan wujud di Malaysia tidak menular seperti virus Covid-19.

Lukanisman berkata, melalui Garis Panduan Pengurusan Mpox Malaysia 2023, mereka yang dijangkiti dan kontak rapat perlu melalui tempoh pengasingan di kediaman atau lokasi bersesuaian sehingga disahkan bebas daripada jangkitan.

“Bagi langkah pemantauan ketika ini, kita ada 11 klinik sentinel terdiri daripada tujuh fasiliti kerajaan dan empat swasta, manakala untuk pengesanan awal jangkitan, kita ada khidmat ujian pengesanan virus melalui 12 makmal, termasuk empat fasiliti swasta.”

Nyamuk Wolbachia

Lukanisman berkata, kaedah pelepasan nyamuk Aedes berbakteria Wolbachia terbukti dapat mengawal dan mengatasi peningkatan wabak denggi, di mana inisiatif dilaksanakan sejak 2019 itu menyaksikan 19 lokaliti pelepasan nyamuk merekodkan 100% penurunan kes denggi.

“Sehingga kini, terdapat 31 lokaliti pelepasan nyamuk itu di seluruh negara dengan perancangan pertambahan 10 lokaliti pelepasan baharu setiap tahun,” katanya menjawab soalan Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai langkah drastik mengekang kes denggi yang semakin meningkat.

Katanya, nyamuk Aedes berbakteria Wolbachia tidak berbahaya kepada manusia, sebaliknya ia menghapuskan virus denggi apabila mengawan atau bersenyawa dengan nyamuk Aedes biasa.

Beliau berkata, walaupun kaedah itu berkesan, namun Kementerian Kesihatan tidak dapat melaksanakan langkah itu secara besar-besaran memandangkan pelepasan nyamuk itu memakan kos tinggi dengan purata harga seekor nyamuk Aedes berbakteria Wolbachia antara 30 hingga 45 sen.

Berdasarkan data minggu epidemiologi ke-47 (ME47) bagi tempoh 19 hingga 25 Nov lalu, katanya, jumlah kumulatif kes denggi adalah 108,429 kes berbanding 56,304 kes bagi tempoh sama pada 2022, iaitu peningkatan 52,125 kes atau 92.6%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.