
Dalam saman difailkan Tetuan S N Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, kelmarin, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok menuntut ganti rugi libel dan fitnah ke atas Siti Mastura kerana menjejaskan reputasi mereka.
Ketiga-tiga mereka juga memohon Mahkamah Tinggi mengeluarkan injunksi menghalang Siti Mastura mengungkap, menulis, menerbit atau mengedar kenyataan sama atau berkaitan.
Siti Mastura didakwa membuat kenyataan dalam ucapannya di Kemaman, Terengganu pada 4 Nov.
Menurut pernyataan tuntutan difailkan, petikan ucapannya kemudian dimuat naik di TikTok dua hari kemudian.
“…yang telah mendapat tontonan melebihi 17,200 kali, 496 komen, melebihi 294 butang ‘likes’, melebihi 70 butang ‘saved’, dan 178 kali perkongsian setakat tarikh pemfailan tindakan ini,” menurut pernyataan itu.
Siti Mastura, timbalan ketua Wanita PAS didakwa mengungkapkan bahawa Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, Naib Presiden Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Khoo Ham, mempunyai pertalian darah dengan keluarga Kit Siang dan Guan Eng.
Pada 10 Nov, Kit Siang, Guan Eng dan Kok menuntut Siti Mastura menarik semula dan memohon maaf atas kenyataannya. Bagaimanapun, minggu lalu Siti Mastura menafikan tuntutan mereka.
Kandungan ucapan Siti Mastura juga dilaporkan media.
Dalam pernyataan tuntutan, tiga pemimpin DAP itu mendakwa Siti Mastura juga merujuk secara khusus dan langsung mengikuti ideologi komunis apabila mengaitkan hubungan kekeluargaan dengan Chin Peng.
Mereka berkata, melalui hubungan kekeluargaan, Siti Mastura mendakwa ketiga-tiganya, bersama Lee dan pemimpin DAP, Loke, Nga, dan Ngeh, meneruskan konspirasi komunis Cina yang memudaratkan keselamatan dan demokrasi di Malaysia.
“Tindakan defendan jelas sekali telah didorongi dan digerakkan dengan tipu muslihat, motif buruk, niat jahat, dan kebencian kerana ia menunjukkan dalam keburukan moral dan salah laku undang-undang di pihak plaintif,” menurut pernyataan itu.