Tiba masa laksana cukai LVG ke atas pasaran dalam talian, kata kumpulan perniagaan

Tiba masa laksana cukai LVG ke atas pasaran dalam talian, kata kumpulan perniagaan

Skim cukai itu ditangguhkan Jabatan Kastam Mac lalu untuk tempoh tidak diketahui, dengan tarikh pelaksanaannya akan ditentukan kemudian.

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia berkata, cukai jualan ke atas barangan import bernilai rendah akan menangani sebarang ketaksamaan antara kedai fizikal dan pasaran dalam talian.
PETALING JAYA:
Kumpulan perniagaan menggesa pelaksanaan cukai jualan ke atas barangan import bernilai rendah (LVG) yang ditangguhkan untuk tempoh tidak diketahui, bagi mengurangkan “saingan tidak seimbang” antara kedai fizikal dan pasaran dalam talian.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta), William Ng berkata, pelaksanaan cukai itu mampu menjadi langkah signifikan untuk memastikan kesamarataan.

“Sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita cacat dan bersaing secara tidak adil dengan pasaran dalam talian milik asing ini.

“Peniaga tempatan perlu membayar cukai, sewa dan kos overhed, sementara peniaga dalam talian sering dapat mengelak tanggungjawab percukaian, selain cenderung membayar sewa serta overhed lebih rendah,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, cukai itu akan menangani sebarang ketaksamaan antara kedai fizikal dan perniagaan dalam talian, yang dilihat penting untuk pertumbuhan dan kelangsungan PKS tempatan.

Cukai LVG pertama kali dicadangkan Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2022.

Timbalan Menteri Kewangan ketika itu, Shahar Abdullah dilaporkan berkata, cukai berkenaan akan menyamaratakan peluang bagi peniaga dalam talian di dalam dan luar negara, seterusnya memperkasakan pasaran serta peniaga tempatan.

Bagaimanapun, Jabatan Kastam pada 14 Mac lalu mengumumkan cukai LVG 10% akan ditangguhkan untuk tempoh tidak diketahui, dengan tarikh pelaksanaannya akan ditentukan kemudian.

Timbalan Presiden Persatuan Peruncit Malaysia, Law Boon Eng senada dengan Ng berkata, platform beli-belah dalam talian mempunyai kelebihan dari segi cukai dan pematuhan berbanding kedai fizikal.

“Barangan dalam kedai fizikal dikenakan cukai, sementara platform dalam talian mampu mengelak perkara itu,” katanya sambil menambah kedai fizikal juga perlu mengenakan caj untuk beg plastik, membuat pembayaran kepada pihak berkuasa tempatan, yang tidak dihadapi perniagaan dalam talian.

Minggu lalu, pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata pasaran dalam talian di platform seperti TikTok mewujudkan “saingan tidak sama rata” bagi perniagaan di premis fizikal.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, katanya, ia disebabkan harga jauh lebih rendah bagi barangan dan perkhidmatan dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.