
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas Azlan Abdullah menerima Anugerah CEO Forward Faster, manakala syarikat merangkul dua lagi anugerah iaitu bagi upah kehidupan wajar (living wage) dan perkongsian matlamat (partnership for the goals).
Azlan berkata pencapaian itu bukti usaha keras Prolintas menjayakan pembangunan prasarana secara progresif.
“Kami sangat komited untuk mengembangkan perniagaan, dan pada masa yang sama terus memelihara dan melindungi masyarakat dan alam sekitar,” katanya.
Prolintas dalam kenyataan berkata, anugerah diterima Azlan mengiktiraf pendekatan strategik perniagaan beliau yang berteraskan amalan tadbir urus yang baik, prihatin terhadap alam sekitar, dan tanggungjawab sosial.
Anugerah upah kehidupan wajar pula mengiktiraf pendirian dan prinsip syarikat berhubung bayaran gaji yang adil, bagi memastikan setiap pekerja menerima kadar gaji yang wajar dengan tahap kehidupan ketika ini.
Prolintas mengambil pendekatan menyeluruh terhadap pembangunan dan kesejahteraan pekerja, yang menyepadukan sistem upah kehidupan wajar yang progresif dengan menawarkan gaji di atas standard pasaran.
Kerjasama strategik Prolintas dengan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) turut mendapat pengiktirafan, menerusi anugerah bagi perkongsian matlamat.
Anugerah itu memperakukan kerjasama untuk menilai secara terperinci jejak gas rumah hijau dalam perniagaan dan operasi lebuh raya, sekali gus meletakkan asas untuk mencapai matlamat sifar karbon menjelang 2050.