
Wakil rakyat penggal kedua itu juga berkata beliau tidak diugut atau diberi tekanan mana-mana pihak dalam membuat keputusan yang diumumkan secara terbuka pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
“Bab peruntukan PM (Anwar) kata boleh runding, tapi pihak pembangkang tak mahu runding. Jadi saya secara ‘gentlemen’ memulakan secara terbuka supaya mereka (PN) sedar kena berunding,” katanya kepada FMT.
“Saya nak semua dengar (wakil kerajaan dan pembangkang). Dalam itu (di Dewan Rakyat) saya seru semua Ahli Parlimen untuk sama-sama bangunkan negara. Masa PRU kita gaduhlah.”
Pada 3 Nov lalu, Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan mengesahkan gabungan itu tidak meneruskan rundingan dengan wakil kerajaan mengenai peruntukan sama rata Ahli Parlimen pembangkang kerana mendakwa diminta menyatakan jaminan tertentu.
Terdahulu, Syed Hussin ketika mengumumkan pendiriannya itu pada sidang Dewan Rakyat pagi tadi turut menyeru bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin serta Ismail Sabri Yaakob bersama membantu Anwar dalam mentadbir kerajaan.
Menyifatkan Anwar ‘kawan lamanya’, wakil rakyat Bersatu itu berkata beliau tidak menerima sebarang tawaran daripada kerajaan untuk mengalihkannya sokongan.
“Tak ada tekanan, tak ada ugutan, tak ada tawaran. Apa pun tak ada,” kata Syed Hussin.
Beliau juga menafikan sokongannya berkaitan permohonan mendapat peruntukan RM30 juta untuk Bukit Gantang disuarakan di Parlimen pada 9 Nov lalu.
“Tak ada (tak dapat), itu bukan isu dia,” tegasnya. “Rakyat sekarang makin susah. Harga barang makin naik.”
Beliau wakil rakyat kelima daripada Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar.
Sebelum ini, Azizi Abu Naim (Gua Musang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Zahari Kechik (Jeli) menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan, demi kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.