Gagal patuh peraturan, penganjur konsert di Kelantan didenda lebih RM10,000

Gagal patuh peraturan, penganjur konsert di Kelantan didenda lebih RM10,000

Antara kesalahan dikenal pasti ialah penyanyi dari Thailand tidak mematuhi etika pemakaian dan membenarkan pengunjung beragama Islam ke konsert itu.

Exco Kelantan Hilmi Abdullah berkata konsert itu tidak melanggar Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan kerana mempunyai permit penganjuran, namun ia gagal mematuhi sebahagian peraturan.
KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan akan mengenakan denda lebih RM10,000 berikutan pelanggaran syarat oleh penganjur konsert sempena Pesta Loy Kratong di Bachok, Jumaat lepas.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata konsert itu tidak melanggar Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan kerana mempunyai permit penganjuran, namun ia gagal mematuhi sebahagian peraturan.

“Pihak penganjur memohon permit untuk acara berkenaan pada 25 Jun lalu dan permit hanya diluluskan pada 20 Sept, selepas kita menjelaskan syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi, termasuk lokasi penganjuran tertutup serta hanya dihadiri penganut agama mereka saja.

“Bagaimanapun, pihak penganjur gagal mematuhi sebahagian peraturan ditetapkan dan antara kesalahan dikenal pasti adalah menampilkan penyanyi dari Thailand yang tidak mematuhi etika pemakaian, selain membenarkan pengunjung beragama Islam ke konsert berkenaan,” katanya selepas sidang DUN di Kompleks Kota Darulnaim.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR Kelantan, Nor Azmiza Mamat, yang menuntut kerajaan negeri menyiasat sebuah konsert memaparkan kumpulan penyanyi wanita dari Thailand yang berpakaian mencolok mata didakwa dianjurkan di Kampung Balai, Bachok, Jumaat lepas.

Beliau berkata, susulan video itu pihaknya melakukan siasatan dan proses pendengaran semalam yang dihadiri beberapa pihak, termasuk wakil Majlis Daerah Bachok, polis, pejabat agama dan penganjur.

“Pihak penganjur di Bachok mengakui seorang anggota Rela yang diupah di konsert berkenaan, gagal mengawal keadaan sehingga acara itu turut dikunjungi pengunjung beragama Islam.

“Sedangkan poster berhubung acara berkenaan sudah dibuat dalam bahasa Thailand dan konsert keagamaan yang diadakan secara tahunan itu hanya untuk penganut Buddha.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.