
PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan lemas di sebuah tali air dekat Kampung Derdap, Kota Bharu, pada 6.53 petang tadi.
Menurut sumber Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, mangsa Mohd Rifki Asyraf Mohd Reduan diberikan bantuan pernafasan secara resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebaik pasukan mencari menjumpainya di kawasan terbabit.
“Maklumat mengenai kejadian diterima pada 6.25 petang tadi dengan melibatkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh dan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pengkalan Chepa,” menurut laporan Bernama.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan pada 7 malam tadi.