Tiada masalah laksana Program Dwibahasa 100%, kata menteri

Tiada masalah laksana Program Dwibahasa 100%, kata menteri

Fadhlina Sidek berkata selain DLP KPM akan terus menjalankan pendekatan lain bagi pengukuhan bahasa Inggeris.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata garis panduan pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) ditetapkan sebelum ini masih kekal. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya tiada masalah bagi sekolah yang telah melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) 100%.

Beliau berkata, garis panduan ditetapkan sebelum ini masih kekal sehingga hari ini.

“Tidak pernah diubah garis panduan tersebut.

“Manakala, bagi yang melaksanakan DLP 100% bagi tahun ini, kita teruskan tak ada masalah,” katanya dalam penggulungan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2024, di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Radzi Jidin (PN-Putrajaya) ketika perbahasan yang membangkitkan kekeliruan ibu bapa berkait DLP kerana tidak ada arahan yang betul.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata DLP hanyalah program dan mana-mana pihak tidak perlu bimbang mengenainya.

Katanya, kerajaan mempunyai pendekatan lain untuk meningkatkan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah.

“Jangan risau bahasa Inggeris ini. Ada banyak program lain dan dasar lain untuk perkukuhkan.

“DLP hanya program. Jangan risau ada pendekatan-pendekatan akan lakukan untuk kukuhkan bahasa Inggeris dalam kalangan anak-anak kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.