Srettha maklum jambatan darat Selatan Thailand akan libat Malaysia, kata PM

Srettha maklum jambatan darat Selatan Thailand akan libat Malaysia, kata PM

Dalam pertemuan tertutup bersama PM Thailand, Anwar Ibrahim berkata kemudahan itu akan beri manfaat terutama di Utara Semenanjung.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata rakan sejawatnya, Srettha Thavisin, akan melibatkan negara ini dalam rancangan bina pelabuhan dan jambatan darat di Selatan Thailand. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin memaklumkan pembinaan pelabuhan dan jambatan darat di selatan negara itu akan melibatkan Malaysia, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata, pembinaan kemudahan baharu di kawasan itu masih berada di peringkat awal.

“Jambatan darat itu masih di peringkat awal, dalam perbincangan tadi, perdana menteri Thailand sebut akan libatkan Malaysia dan ia akan turut beri manfaat kepada Malaysia terutama Utara Semenanjung.

“Bagi kita ada faedah dan manfaat kemudahan di situ, cuma secara terperinci sama ada kita akan menyertainya atau ada ekuiti masih terlalu awal,” katanya menurut Sinar Harian pada sidang media di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan tertutup dengan Srettha ketika Lawatan Kerja Ke Sadao, Thailand.

Sebelum ini, Thailand mengemukakan cadangan projek membina pelabuhan dan jambatan darat yang memintas laluan perkapalan di Selat Melaka.

Hal itu bertujuan mengurangkan masa perkapalan antara Lautan Hindi dan Pasifik dengan mengelak Selat Melaka yang sebelum ini adalah sebuah laluan laut utama yang sibuk.

Srettha dilaporkan memberitahu pelabur di San Francisco, Amerika Syarikat bahawa projek itu boleh memendekkan masa perjalanan kira-kira empat hari dan mengurangkan perbelanjaan perkapalan sebanyak 15%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.