Rafizi dibidas pertahan PM calon terbaik jadi menteri kewangan

Rafizi dibidas pertahan PM calon terbaik jadi menteri kewangan

Pengkritik membangkitkan persoalan mengenai tadbir urus baik dan hipokrit kerana bantahan menteri ekonomi itu terhadap pemegang dua portfolio terdahulu.

Rafizi Ramli mendakwa perdana menteri paling sesuai menyelia amalan perolehan bagi mencegah rasuah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengkritik membidas tindakan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mempertahankan perdana menteri memegang portfolio kewangan atas kemungkinan penyalahgunaan kuasa.

CEO Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme, Pushpan Murugiah berkata Kementerian Kewangan dan Pejabat Perdana Menteri perlu diasingkan memandangkan kedua-duanya mempunyai pengaruh penting.

“(Kementerian Kewangan) mempunyai akses kepada struktur kewangan negara, termasuk rangkaian luas GLC, manakala (Pejabat Perdana Menteri) mengawal pengawal selia seperti peguam negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilantik secara politik,” katanya kepada FMT.

Beliau turut mengingatkan kerajaan supaya mengambil iktibar daripada skandal lampau seperti 1MDB untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa sama berulang. Najib Razak, yang terbabit dalam kes itu, turut menerajui Kementerian Kewangan semasa berkuasa.

Rabu lalu, Rafizi menolak dakwaan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bahawa jawatan menteri kewangan dan perdana menteri tidak sepatutnya dipegang orang sama.

Rafizi percaya Anwar paling sesuai mengetuai Kementerian Kewangan bagi memastikan tatakelola perolehan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kenyataan Rafizi menunjukkan kerajaan gagal melaksanakan reformasi yang pernah diminta PKR ketika menjadi pembangkang.

“Reformasi mati kerana kuasa.”

Ahli Parlimen Pendang daripada PAS, Awang Solahuddin Hashim senada dan mendapati Rafizi pernah membidas Najib kerana memegang dua portfolio.

“Selain Pakatan Harapan (PH), tiada orang boleh (memegang kedua-dua portfolio). Hanya PH boleh – itulah gaya reformasi PH.”

Tetapi, Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood dari Majlis Profesor Negara berkata, disebabkan perdana menteri bertanggungjawab kepada Parlimen atas kedua-dua peranan, isu tadbir urus sebahagian besarnya perlu dielakkan.

“Perspektif orang ramai penting dalam perkara ini. Jika rakyat menganggap perdana menteri tidak sesuai memegang peranan menteri kewangan dan bercanggah prinsip tadbir urus baik, maka perdana menteri harus mempertimbangkan pandangan mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.