Myvi hilang kawalan, rempuh 7 kenderaan

Myvi hilang kawalan, rempuh 7 kenderaan

Kejadian antaranya mengakibatkan dua penunggang motosikal patah kaki.

Pemangku Ketua Polis Timur Laut V Saravanan, berkata kereta dipandu wanita warga emas itu hilang kawalan lalu merempuh tiga motosikal dan empat kereta. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Empat lelaki cedera selepas motosikal dinaiki dirempuh kereta Perodua Myvi yang dipercayai hilang kawalan dalam kejadian di lampu isyarat Jalan Bukit Gambir.

Pemangku Ketua Polis Timur Laut V Saravanan, berkata kemalangan pada kira-kira 3 petang berdekatan pintu keluar Universiti Sains Malaysia (USM) arah ke Jalan Tun Dr Awang itu, membabitkan empat kereta dan tiga motosikal.

“Kemalangan berlaku di laluan yang sama ketika lampu isyarat berwarna merah dan penunggang serta pemandu kenderaan sedang berhenti menunggu lampu isyarat hijau.

“Tiba-tiba kereta Perodua Myvi itu yang dipandu seorang wanita berusia 60 tahun datang dari arah belakang dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiga kereta dan tiga motosikal yang berada di hadapan,” katanya.

Kemalangan itu, katanya menyebabkan dua lelaki, penunggang motosikal cedera di leher dan kaki kanan serta pemboncengnya cedera pendarahan di kepala.

Saravanan berkata, dua lagi penunggang motosikal turut mengalami kecederaan iaitu patah kaki, manakala wanita yang memandu Perodua Myvi cedera di dada dan pemandu tiga kereta lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semua yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan kemalangan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.