
Pengerusi PN itu berkata, pemilihan menteri besar Terengganu itu sebagai calon PRK Kemaman antara langkah strategik untuk memberi gambaran bahawa gabungan tersebut tidak ketandusan pemimpin wibawa.
“Rakyat secara keseluruhannya (akan melihat) bahawa kita ada ramai tokoh yang bijaksana, berkemampuan, teruji, dan sikapnya sederhana.
“Kita tak boleh nafikan akan ada masa (Samsuri sebagai calon PM). Saya kira mungkin bila PN mencipta sejarah (atau) sama ada nak sampai PRU16, harapan kita adalah besar untuk tubuh kerajaan.
“Saya percaya keputusan pucuk pimpinan PAS buat begitu untuk meletakkan dia sebagai calon Parlimen adalah langkah strategik yang memberikan natijah yang cukup baik untuk PAS dan PN,” katanya menurut Sinar Harian selepas menghadiri majlis ramah penduduk di Felda Kerteh 5, Kemaman.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada calon PAS itu adalah calon perdana menteri daripada gabungan itu.
Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri, berkata berdasarkan keputusan pilihan raya yang lepas, Samsuri diyakini mampu mencatatkan kemenangan besar.
“PRK ini sangat penting kerana ia diadakan selepas PRN, ketika undi PN semakin kukuh dan mantap. Saya pun ada sebut peratusan yang tinggi (82% sokongan undi Melayu).
“Sebahagian besar menyokong kita dan ada satu lagi ujian untuk Kemaman. Saya yakin majoriti yang akan dicapai jauh lebih tinggi,” katanya.