
Beliau mengakui bukan semua pemegang PhD “pakar segalanya”.
“Kalau pun ada seseorang yang mempunyai PhD itu dia tidak semestinya jadi pakar dan tahu segalanya. Dia mungkin pakar bidangnya, tapi yang lain-lain mungkin tak mendalam dalam perkara itu, jadi sebab itu kita berhadapan dengan keadaan sebegitu.
“Apapun selepas ini kita akan lebih ketat dalam soal menentukan siapa yang boleh mengikuti program PhD dan sebagainya. Memang malang lebih-lebih lagi ia berlaku dari graduan sebuah universiti ternama seperti USM,” katanya dalam penggulungan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2024, di Dewan Rakyat.
Khaled berkata demikian ketika menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mempersoalkan kualiti seorang pemegang PhD sehingga menjadi momokan orang ramai.
Terdahulu, Rayer meminta supaya KPT menubuhkan pusat atau kawalan akreditasi bagi mengawal pelaksanaan program tersebut memandangkan kualitinya yang “rendah”.
“Semua boleh dapat (PhD) tapi kualitinya dipersoalkan hingga jadi momokan orang luar. Lebih-lebih lagi baru-baru ini ada seorang Ahli Parlimen yang ada PhD kaitkan DAP dengan parti komunis,” katanya.
Ini susulan gesaan Rayer ketika sesi perbahasan supaya kementerian memeriksa pemegang PhD dikeluarkan Universiti Sains Malaysia (USM). Bagaimanapun beliau tidak menyatakan individu dimaksudkan.
Pada 14 Nov, Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Mohamad dirakam keterangan susulan laporan polis terhadapnya berhubung ucapan di Terengganu pada 4 Nov, di mana beliau mendakwa pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng, sepupu kepada Chin Peng.
Beliau turut mendakwa Kit Siang dan Guan Eng adalah sepupu kepada bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew, manakala Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sepupu Betty Chew, isteri Guan Eng.
Timbalan ketua Wanita PAS itu juga mendakwa sebahagian besar anggota DAP mempunyai pertalian darah dengan keluarga Lim.