Kesatuan imigresen cadang tempoh pasport dilanjut 10 tahun

Kesatuan imigresen cadang tempoh pasport dilanjut 10 tahun

Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia berkata langkah itu akan mengurangkan beban tugas kakitangan di pejabat pengeluar pasport.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia Ajeet Singh berkata lebih 100 negara kini menawarkan pasport dengan tempoh sah laku 10 tahun.
PETALING JAYA:
Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (Kpism) mencadangkan tempoh sah laku pasport dilanjutkan sehingga 10 tahun.

“Buku pasport dengan muka surat sedia ada boleh digunakan, tetapi hanya tambah tempoh sah laku sahaja dilanjutkan.

“Manakala, permohonan pasport sedia ada untuk tempoh lima tahun dikekalkan untuk rakyat mempunyai pilihan,” kata Presiden Kpism Ajeet Singh dalam satu kenyataan.

Katanya, kebanyakan negara meletakkan syarat bahawa mana-mana pasport yang tempohnya sah laku kurang dari enam bulan tidak dibenarkan masuk ke negara tersebut.

“Oleh itu tempoh pasport yang dinikmati oleh rakyat Malaysia adalah hanya empat tahun enam bulan sahaja.

“Lebih 100 negara memperkenalkan pasport sah untuk tempoh 10 tahun. Malah banyak negara dunia ketiga juga mengeluarkan pasport untuk 10 tahun,” katanya.

Katanya, langkah itu akan membantu mengurangkan beban tugas kakitangan imigresen.

“Pegawai imigresen yang bertugas di pejabat pengeluar pasport negeri dan cawangan terpaksa bertugas tujuh hari seminggu tanpa rehat. Isu kebajikan pegawai amat dititikberatkan oleh pihak kesatuan,” katanya.

Pada 16 Mei lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kakitangan imigresen di Kajang, Kelana Jaya dan Wangsa Maju hanya menerima permohonan pasport secara dalam talian bermula 1 Jun.

Saifuddin berkata, langkah itu bagi mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu yang lama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.