Kastam rampas rokok seludup RM2.1 juta

Kastam rampas rokok seludup RM2.1 juta

Pengarah JKDM Perak Abdul Ghafar Mohamad berkata ia adalah rampasan terbesar di negeri itu tahun ini, hasil risikan selama seminggu.

Abdul Ghafar Mohamad (tiga dari kiri) menunjukkan rokok pelbagai jenama yang dirampas pada sidang media di Kompleks Kastam hari ini. (Gambar Bernama)
IPOH:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 2.5 juta batang rokok putih bernilai lebih RM2.1 juta dalam serbuan di Pantai Remis dan Sitiawan, Khamis lepas.

Pengarah JKDM Perak, Abdul Ghafar Mohamad, berkata ia adalah rampasan terbesar di negeri ini tahun ini, hasil risikan selama seminggu.

Beliau berkata dalam serbuan 1.30 tengah hari itu pihaknya menemukan rokok putih dan kretek pelbagai jenama disyaki diseludup masuk melalui jalan laut dan disimpan di dalam premis kediaman.

“JKDM melakukan intipan terhadap sebuah rumah teres dua tingkat di Sitiawan yang berpagar dan mempunyai pengawal dan risikan mendapati premis yang dijadikan stor simpanan rokok itu tidak berpenghuni,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Perak di sini hari ini.

Abdul Ghafar berkata serbuan kedua dilakukan pada hari sama di sebuah premis terbiar di Pantai Remis dan telah menemukan sebanyak 127,200 batang rokok putih dan kretek dengan nilai lebih RM100,000 yang diletakkan di ruang tamu rumah terbabit.

“Kebanyakan rokok yang diseludup dibawa masuk melalui laut dari Vietnam dan disimpan di rumah terbabit sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Semua kotak berisi rokok dibalut dengan plastik bagi mengelakkan ia daripada basah dan tiada tangkapan dibuat, malah kami masih mengesan pemilik premis terbabit untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Pemilik premis atau penyewa boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya didapati bersubahat membenarkan premis mereka digunakan untuk menyimpan rokok tidak sah.

“Untuk kegiatan seperti ini, kami boleh mengambil tindakan ke atas individu yang memiliki pada masa itu sama ada penyewa atau pemilik premis yang berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.