‘Jangan babit penjawat awam dalam politik’, Cuepacs beritahu wakil PKR

‘Jangan babit penjawat awam dalam politik’, Cuepacs beritahu wakil PKR

Cadangan tubuh jawatankuasa memantau guru tidak menyokong kerajaan hanya merugikan sumber, kata Adnan Mat.

Adnan Mat berkata penjawat awam menyokong aspirasi kerajaan semasa tetapi memilih sebagai individu pada pilihan raya.
PETALING JAYA:
Cuepacs menegur ahli politik yang dilihat ‘mengheret’ penjawat awam demi kepentingan mereka, susulan cadangan mewujudkan jawatankuasa pemerhati bagi memantau guru tidak menyokong kerajaan pada Kongres PKR, semalam.

Mengulas gesaan perwakilan dari Johor Haryati Abu Nasir, Presidennya Adnan Mat menyifatkan tindakan itu hanya merugikan sumber kerajaan.

Tegasnya, tumpuan sewajarnya kepada perkara lebih penting dan bermanfaat seperti meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Cuepacs ingin menegur semua ahli politik supaya tidak melibatkan perkhidmatan awam serta warganya dalam kepentingan politik masing-masing.

“Sebaliknya bersama-samalah dengan kami dalam membangunkan negara ini supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Haryati menyarankan Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan jawatankuasa pemerhati bagi memantau guru yang tidak menyokong kerajaan.

Beliau mendakwa wujud trend membimbangkan dalam kalangan penjawat awam yang secara terbuka tidak mahu menyokong kerajaan ditadbir Anwar Ibrahim ketika ini.

Adnan turut membidas Haryati yang melontarkan cadangan itu dan bertanyakan sama ada pengundi hanya terdiri daripada penjawat awam sehingga diberikan perhatian seumpama itu.

“Daripada sudut penjawat awam sememangnya kita harus mendokong aspirasi kerajaan memerintah.

“Cuma sebagai individu penjawat awam juga ada pilihan apabila tiba masanya untuk memilih,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.