
Minggu lepas, Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin dilaporkan bertanya mengapa Wee terlibat dalam rundingan perjanjian ventilator pada 2020, memetik laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Presiden MCA itu kemudiannya menafikan penglibatannya dengan berkata, beliau hanya bertanggungjawab mengangkut peralatan perubatan, termasuk ventilator.
Pada sidang media di Parlimen hari ini, Chong berkata, memandangkan kenyataan mereka bercanggah, hanya seorang yang bercakap benar.
“Oleh sebab Ayer Hitam (Wee) merupakan (menteri) yang bertanggungjawab pada masa itu, jadi, kita berikannya ‘benefit of the doubt’,” kata wakil rakyat DAP itu.
Justeru, katanya, beliau telah merujuk dirinya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk mencari kebenaran, memandangkan tiada Peraturan Mesyuarat menghalang Ahli Parlimen berbuat demikian.
“Saya harap Speaker akan membenarkan (tindakan saya) ini, dan jawatankuasa akan mewujudkan prosedur untuk menentukan sama ada kenyataan saya atau Wee yang benar.
“Oleh sebab beliau (Wee) kata beliau betul, saya tidak akan rujuk beliau (kepada jawatankuasa), saya akan rujuk diri saya sendiri,” katanya.