Calon PRU15 mengaku tak salah tipu RM170,000

Calon PRU15 mengaku tak salah tipu RM170,000

Tertuduh, Azman Idris, 55, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu seorang lelaki berhubung urusan pembalakan itu.

Ahli perniagaan yang juga calon PRU15, Azman Idris mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jeli atas pertuduhan menipu dalam urusan pembalakan, dua tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jeli hari ini, atas pertuduhan menipu seorang lelaki dalam urusan pembalakan tidak wujud sehingga mangsa kerugian RM171,500, dua tahun lalu.

Tertuduh yang juga calon Warisan di Parlimen Kuala Pilah pada PRU15, Azman Idris, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad, lapor Harian Metro.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menipu Chin Yet Lun, 37, dengan memperdayanya dalam urusan pembalakan yang tidak wujud sehingga mangsa menyerahkan wang sebanyak RM171,500 ke dalam dua akaun bank milik tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan di Mukim Belimbing, Batu Melintang di sini antara 27 September 2021 hingga 10 Disember 2021.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Kamilah Che Ibrahim mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan sebelum Khamis ini dan menetapkan 31 Disember depan sebagai sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.