Aman Palestin beri tempoh 3 hari SPRM nyahbeku akaun

Aman Palestin beri tempoh 3 hari SPRM nyahbeku akaun

Sekiranya SPRM gagal memenuhi tuntutan itu Aman Palestin akan membawa kes tersebut ke mahkamah.

Peguam Aman Palestin, Rafique Rashid dalam sidang media menegaskan pihaknya sedia untuk membawa SPRM ke mahkamah kerana membekukan akaun pertubuhan tersebut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Aman Palestin Berhad memberi tempoh tiga hari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyahbekukan akaunnya atau bakal berdepan tindakan undang-undang.

Peguam Aman Palestin, Rafique Rashid dalam sidang media menegaskan, sekiranya SPRM gagal memenuhi tuntutan itu: “Kami akan membawa perkara ini ke mahkamah.”

Rafique berkata kenyataan media SPRM bertarikh 23 Nov lalu jelas berniat jahat dan sengaja diterbitkan untuk membina persepsi negatif terhadap Aman Palestin.

Beliau juga menuduh pihak berkuasa menghalang NGO tempatan daripada memberi bantuan yang sangat diperlukan kepada rakyat Palestin.

“Perdana menteri pergi keluar negara bercakap demi kepentingan Palestin, tetapi di sini, akaun bank (bantuan untuk rakyat Palestin) dibekukan,” katanya.

SPRM pada Khamis lalu membekukan 41 akaun bank milik Aman Palestin Berhad dan beberapa entiti berjumlah RM15.8 juta susulan siasatan ke atas dakwaan penyalahgunaan dana sumbangan berjumlah RM70 juta.

Badan anti-rasuah itu turut menggeledah premis Aman Palestin untuk mendapatkan dokumen berkaitan kewangan serta pengurusan operasi sejak lima tahun lalu.

“Hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta
yang disalurkan bagi tujuan selain objektif penubuhan syarikat berkenaan,” kata SPRM dalam kenyataan.

SPRM berkata, siasatannya dimulakan 17 Okt lalu bagi kesalahan bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 serta Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.