Muhyiddin sekadar ‘menduga’, kata penganalisis

Muhyiddin sekadar ‘menduga’, kata penganalisis

Pengumuman awal presiden Bersatu itu merupakan langkah taktikal untuk mengukur sokongan ahli parti, menurut penganalisis.

Sehari selepas mengumumkan keputusan untuk berundur sebagai presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengubah fikiran atas dorongan isterinya.
PETALING JAYA:
Keputusan Muhyiddin Yassin untuk tidak mempertahankan jawatan presiden Bersatu, kemudian berubah fikiran adalah langkah strategik bertujuan mengukur sokongan ahli parti, kata penganalisis.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, undian sebulat suara oleh pemimpin parti agar Muhyiddin kekal sebagai presiden menunjukkan bekas perdana menteri itu mendapat sokongan besar.

Walaupun Muhyiddin sebelum ini kelihatan mendapat sokongan perwakilan, sokongan daripada pemimpin tertinggi parti tidak pasti, katanya.

Azmi sebelum ini berkata, tekanan dalaman mungkin menjadi faktor di sebalik keputusan Muhyiddin untuk tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti tahun depan, terutama selepas empat Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Sebelum ini, saya ingat beliau mahukan muka baharu ambil alih jawatan presiden, tetapi saya tersilap. Beliau sebenarnya mahu menguji sama ada beliau dapat sokongan atau tidak,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, antara calon presiden baharu termasuk Setiausaha Agung Hamzah Zainudin, Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Azmin Ali.

Ketiga-tiganya dilihat sedia menyandang jawatan itu jika Muhyiddin berundur, dengan Azmin merancang bertanding bagi jawatan presiden pada penggal akan datang, katanya.

James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, “pusingan U” Muhyiddin mungkin tindak balas terhadap tahap sokongan diterimanya, atau kerana bimbang parti mungkin berpecah jika beliau berundur.

Bagaimanapun, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, tipikal bagi ahli politik berpengalaman menggunakan taktik sedemikian untuk “menduga”.

Di sebalik spekulasi bahawa pengumumannya untuk berundur semata-mata gimik, Muhyiddin menegaskan beliau “bukan main-main”.

Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu sebulat suara menolak keputusan awal Muhyiddin, selain turut dibantah MPT dalam mesyuarat tergempar.

Sehari selepas mengumumkan keputusan untuk berundur, Muhyiddin mengubah fikiran atas dorongan isterinya, yang menasihatkannya tidak mengecewakan ahli parti yang masih memerlukannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.