
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata mesyuarat membabitkan pelbagai agensi terlibat itu akan memperhalusi cadangan projek berkenaan dianggarkan RM20 bilion, melibatkan jajaran Tebrau, Skudai, dan Iskandar Puteri sepanjang hampir 30km.
Beliau berkata, kajian menyeluruh berhubung pembinaannya yang melibatkan pelbagai agensi seperti Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) perlu dilaksanakan dengan mengambil kira keadaan bandar raya Johor Bahru.
“Setelah itu, kerajaan negeri akan mengangkat satu kertas kerja secepat mungkin kepada kerajaan Persekutuan mengenainya,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar.
Fazli berkata, pembinaan LRT itu sekali gus membantu melengkapkan sistem pengangkutan di Johor yang disokong pelbagai projek seperti pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, yang dijangka siap pada 2027.
Khamis lalu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2024, berkata projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan LRT perlu dilaksanakan segera bagi melengkapkan ekosistem sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.