Bersatu menuju krisis kepimpinan usai perhimpunan

Bersatu menuju krisis kepimpinan usai perhimpunan

Sumber berkata tindakan Muhyiddin Yassin menarik balik keputusan tidak mempertahankan jawatan presiden boleh membawa kepada 'keretakan' dalam MPT Bersatu.

Jumaat lalu Muhyiddin Yassin mengumumkan tidak mempertahankan jawatan presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, namun menarik balik keputusan itu semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bersatu dilihat menuju ke arah krisis kepimpinan dengan persoalan siapa bakal memimpin parti itu akan datang.

Ini berlaku selepas Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2023 selama tiga hari yang berakhir semalam tanpa rancangan jelas siapa bakal memegang jawatan tertinggi parti.

Sumber berkata, tindakan Muhyiddin Yassin menarik balik keputusan tidak mempertahankan jawatan presiden boleh membawa kepada “keretakan” dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Katanya, “pusingan U” Muhyiddin pasti akan menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kem tertentu.

“Pemimpin Bersatu sedia untuk Muhyiddin berundur sebagai presiden.

“Nama yang disebut-sebut sebagai pengganti mungkin Setiausaha Agung Hamzah Zainudin dan ramai bersetuju dengan pilihan itu,” katanya.

Muhyiddin sebelum ini mengakui sedar wujud gesaan agar berlaku perubahan dalam kepimpinan, termasuk oleh Ahli MPT Eddin Syazlee Shith yang berkata parti itu mempunyai kelompangan atau kelemahan yang perlu diisi supaya lebih mantap membantu Perikatan Nasional (PN).

Jumaat lalu, Muhyiddin mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan parti tahun depan.

Katanya, keputusan itu dibuat untuk memberi ruang kepada pemimpin pelapis Bersatu mengambil alih kepimpinan parti.

Namun beberapa pemimpin Bersatu enggan menerima keputusan itu.

Ketua Pemuda, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata beliau akan mengusulkan supaya Muhyiddin kekal menerajui Bersatu pada pemilihan seterusnya, manakala Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu mengakui terkejut dengan pengumuman itu, melihat maklum balas secara tiba-tiba daripada semua perwakilan yang berdiri menolak.

Bagaimanapun semalam, Muhyiddin mengubah keputusannya dan berkata beliau akan mempertahankan jawatan presiden untuk sepenggal lagi.

Muhyiddin dalam ucapan pada sesi penggulungan PAT Bersatu memaklumkan, beliau diyakinkan oleh isterinya, Noorainee Abdul Rahman, untuk tidak mengecewakan ahli yang kelihatan memerlukannya.

Bersatu mencatat keputusan pilihan raya terbaik pada PRU15 tahun lalu apabila memenangi 31 kerusi Parlimen.

Bagaimanapun, dengan kedudukan kepimpinan yang belum diselesaikan, prospek parti untuk mengukuhkan kejayaan itu diragui.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.