Tumpu perkukuh bakat parti, Rafizi gesa sayap PKR

Tumpu perkukuh bakat parti, Rafizi gesa sayap PKR

Timbalan presiden PKR itu mengingatkan Pemuda dan Wanita PKR bahawa idealisme tanpa kekuatan organisasi dan kelebihan bakat tidak akan berkesan.

Pemuda dan Wanita PKR diingatkan bahawa cabaran yang dihadapi mereka berbeza dengan zaman terdahulu.
PUTRAJAYA:
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menggesa sayap Pemuda dan Wanita agar memberikan tumpuan pada perancangan bagi bakat dalaman untuk menjamin masa depan yang cerah bagi parti.

Semasa merasmikan kongres sayap Pemuda dan Wanita PKR hari ini, Rafizi mengingatkan perwakilan bahawa cabaran yang dihadapi mereka berbeza dengan zaman terdahulu.

“Sebab itu, satu-satunya asas yang boleh membantu saudara saudari jadi pemimpin yang berkesan dan tanggungjawab adalah idealisme pada masa muda,” katanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“Hanya idealisme sahaja yang boleh menguatkan azam kamu untuk terus bergerak, terus membina kekuatan, menyantuni rakyat, membawa idea baharu yang kreatif, (seterusnya) memastikan Pemuda dan Wanita menjadi tonggak kekuatan parti.”

Bagaimanapun, katanya, dengan idealisme semata-mata, parti tidak akan maju.

“(Hanya ada) idealisme sahaja, tetapi tidak ada kekuatan organisasi dan juga yang paling penting, kelebihan bakat, gerakan itu tidak ke mana,” katanya.

Beliau turut memberikan PAS, yang menggunakan Islam sebagai pegangan idealisme, sebagai contoh dengan berkata, parti itu hanya mampu “memenuhkan stadium dengan penyokong”.

“Kita pernah lama dengan PAS, dua hari sebelum pilihan raya mereka mampu mengumpulkan 100,000 (penyokong) dengan mudah, (tetapi) masuk pilihan raya, kalah,” katanya merujuk kerjasama antara PKR, PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat pada 2008.

Rafizi kemudian bertanya kepada perwakilan sama ada mereka bersedia untuk memimpin parti dan kerajaan dalam masa sedekad, kemudian berkata tiada siapa boleh “benar-benar bersedia” untuk berbuat demikian.

“Tetapi kita sebagai sebuah organisasi dan kepimpinan, yang kita boleh buat, kita boleh bina asas itu, letakkan prosesnya,” katanya.

‘Kita perlu tegas dan kadang-kadang lasak untuk memberi ruang kepada pemimpin baharu yang berpotensi untuk membawa parti, Pemuda, dan Wanita ke peringkat lebih tinggi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.